Ada riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais
mengatakan: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah s.a.w memanggil
untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah
s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar. Nampak
semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak.
Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.” Kemudian berkata: “Tahukah
kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?” Kami
menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”
Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi Allah aku me-nyuruh kamu
berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar
gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah
seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia
ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang
dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu
sebelumnya.
Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki
kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke
tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan
kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu
bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya
matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan
binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina
dan duburnya.
Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?”
Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.” Mereka tanya: “Apa itu
Al-Jassasah?” Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki,
pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini,
sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke
tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.
Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan
tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari
tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari
lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?”
Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita
tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”
Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke
laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke
tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan.
Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.
“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal
bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa
dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab:
“Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai
lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”
Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah
berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.” Makhluk
yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja
mengemukakan soalan: “Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang
di Bisan itu,” nama tempat di negeri Syam. Mereka menjawab: “Keadaan
apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah
pokok kurma itu berbuah?” Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu
berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”
Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai
Tabarah.” Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki
itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab:
“Airnya tidak susut.” Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan
akan kering.”
Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu
ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?” Mereka
menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.” Lelaki itu
bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka
menjawab: “Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab.” Lelaki itu bertanya
lagi: “Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka
ceritakan bahawa Rasulullah s.a.w telah mengembangkan dakwahnya dan
sudah ramai pengikutnya.
Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka
beruntung jika taat kepadanya.” Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku
terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan
diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa
empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan
Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah
dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”
Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s.a.w menekankan tongkatnya
di atas mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat
dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah
aku sampaikan cerita ini kepada kamu?” Mereka menjawab: “Ya, sudah ya
Rasulullah.” Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu
lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang
telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan
Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada
mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah
timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke
arah timur.
Rasulullah s.a.w telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang
dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari
Khurasan atau Asfihan